"Ts. Tak Laku?" Kenapa Gelaran Sahaja Tidak Membawa Makna
"Ts. Tak Laku?" Kenapa Gelaran Sahaja Memang Tidak Membawa Makna
Saya pernah dengar komen ini lebih daripada sekali. Kadang-kadang dalam sesi minum petang dengan rakan sekerja, posting dekat Threads, kadang-kadang dalam ruangan komen LinkedIn: "Ts. ni tak laku la. Letak depan nama pun orang tak kisah."
Lain jujur saya cakap, saya tak nak bertekak dengan pandangan itu. Sebab pada satu tahap, ia betul.
Kalau gelaran Ts. yang diberikan oleh MBOT itu kita anggap sekadar dua huruf yang cantik di kadi nama, memang ia tidak membawa apa-apa impak. Tiada gaji naik automatik. Tiada orang bangun bagi tempat duduk dalam mesyuarat. Tiada pintu terbuka sendiri. Kalau itu yang kita harapkan, memang kita akan kecewa.
Tetapi masalahnya bukan pada gelaran. Masalahnya pada cara kita memahami gelaran.
Hakikat Sebuah Gelaran
Cuba kita luaskan sedikit perspektif. Isu "tak laku" ini sebenarnya bukan isu Ts. semata-mata. Ia terpakai kepada semua gelaran profesional tanpa kecuali.
Ir., Dr., Sr., Ar. Semuanya gelaran yang dihormati, semuanya melalui proses yang bukan mudah. Tetapi bayangkan seorang pemegang gelaran yang sudah sepuluh tahun tidak menyentuh perkembangan baru dalam bidangnya, tidak pernah menghadiri mana-mana persidangan teknikal, tidak pernah berkongsi ilmu dengan sesiapa. Gelaran itu masih kekal di depan namanya, tetapi nilai praktikalnya sudah lama luput.
Gelaran profesional bukan sijil pencapaian yang kita gantung di dinding lalu lupakan. Ia lebih tepat digambarkan sebagai satu janji: janji bahawa kita masih berada dalam permainan, masih relevan, masih boleh dipercayai untuk menyelesaikan masalah teknikal hari ini, bukan masalah teknikal sepuluh tahun lepas.
Jadi ya, gelaran boleh jadi "tak laku". Tetapi bukan kerana gelaran itu lemah. Ia jadi tak laku apabila pemegangnya berhenti bergerak.
Nilai Sebenar: Pembelajaran Berterusan
Di sinilah letaknya jawapan sebenar kepada persoalan tadi.
Nilai menjadi seorang Profesional Teknologis bukan datang daripada gelaran itu, tetapi daripada tanggungjawab yang datang bersamanya. Dan tanggungjawab yang paling utama adalah pembelajaran berterusan (continuous professional development).
Badan profesional seperti MBOT meletakkan syarat CPD bukan tanpa sebab. Ia bukan sekadar proses birokratik. Ia adalah mekanisme untuk memastikan pemegang gelaran masih semasa, masih kompeten, masih bernilai.
"Ts." di depan nama itu tidak bermakna apa-apa jika tidak disokong oleh pembelajaran yang berterusan. Menghadiri kursus, membaca kertas kerja teknikal, menyumbang kepada komuniti profesional, menyelesaikan masalah sebenar dalam industri. Inilah yang memberi berat kepada gelaran tersebut.
Ke Hadapan
Kali seterusnya apabila ada yang mengatakan "Ts. tak laku," mungkin kita perlu bertanya: "Apakah yang telah dilakukan oleh pemegang gelaran untuk memastikan ia kekal laku?"
Sebuah gelaran hanya setinggi nilai pembelajaran berterusan di sebaliknya. Huruf itu tidak bermakna apa-apa tanpa komitmen untuk kekal semasa, kekal terlibat, dan kekal berkembang.
Itulah erti sebenar kelayakan profesional. Bukan hurufnya, tetapi pembelajaran sepanjang hayat yang diwakilinya.